Friday, 26 July 2013

Bo Xilai didakwa rasuah dan salah guna kuasa


JINAN: Bekas ahli politik terkenal China, Bo Xilai, semalam telah didakwa atas pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pertuduhan itu akan membuka jalan bagi memulakan perbicaraan - lebih setahun selepas Bo dilaporkan terlibat dalam skandal politik terbesar di China.
Pendakwaan semalam dibuat di bandar Jinan, wilayah Shandong di utara China, tetapi tarikh perbicaraan tidak didedahkan.
Menurut pihak pendakwa raya, sebagai kakitangan pemerintah, Bo, 64 tahun, telah mengambil kesempatan atas kedudukannya untuk mencari untung daripada orang lain, selain menerima sejumlah wang yang banyak dan hartanah.
Bo, bekas ketua parti bagi Majlis Perbandaran Chongqing, juga menyelewengkan sejumlah besar wang awam dan menyalahguna kuasa, sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara serta melakukan jenayah serius.
Dia akan didakwa atas kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, menurut kertas pertuduhan itu.
Pada September tahun lalu, Bo disingkirkan daripada Parti Komunis China (CPC) selepas dituduh menerima rasuah, menjalin hubungan seksual yang tidak wajar dengan beberapa wanita dan menyembunyikan perbuatan isterinya, Gu Kailai, yang membunuh ahli perniagaan Britain, Encik Neil Heywood.
Gu dijatuhi hukuman mati dengan dua tahun penangguhan hukuman atas tuduhan membunuh dengan sengaja oleh Mahkamah China pada Ogos tahun lalu.
Mengulas kes itu, seorang pengamat politik di Beijing, Encik Chen Ziming, berkata:
"Bagi kes politik seperti ini, kemungkinan perbicaraan dijalankan secara adil adalah tipis. Pada dasarnya, hukuman telah pun ditetapkan oleh pihak atasan dan mahkamah hanya bertindak berdasarkan arahan itu."
Bagaimanapun, ramai pengamat berpendapat Bo tidak akan dikenakan hukuman mati, sebaliknya hukuman penjara seumur hidup.
Sementara itu, di Jinan, perbicaraan besar yang bakal berlangsung kurang mendapat perhatian penduduk setempat.
"Sebagai rakyat biasa, saya berharap Bo Xilai tidak akan dilayan sebagai seorang pegawai berpangkat tinggi tetapi sebagai rakyat biasa lain yang telah melanggar undang-undang," kata seorang penduduk, Encik Wang Songxian

No comments:

Post a Comment

Busuk.com