Friday 16 August 2013

Amerika kutuk perintah darurat

PARIS: Negara-negara Barat yang menjadi sekutu Mesir telah memberi amaran kepada para pemimpin tentera negara itu supaya usah bertindak keras ke atas para penyokong Encik Mohamed Mursi yang duduk membantah sambil berhujah Mesir tidak seharusnya menghadapi kesan pergolakan dan kerosakan politik.
Bagaimanapun, keganasan menyusuli usaha menamatkan kebuntuan antara penyokong kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwan) dengan pihak tentera yang menggulingkan presiden pertama yang dipilih rakyat Mesir dalam pilihan raya itu memang dijangkakan apabila pihak berkuasa baru Mesir mengisytharkan pengantaraan pihak asing telah gagal.
Namun, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) terus mengirim pesanan kepada komander tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, dan Naib Presiden sementaranya, Encik Mohamed ElBaradei, dalam tempoh empat hari percutian perayaan Aidilfitri yang berakhir Ahad lalu, sambil merayu agar diadakan satu penyelesaian melalui rundingan, kata para diplomat Barat.
"Kami mempunyai satu rancangan politik pada meja rundingan, yang telah diterima oleh pihak di sebelah sana (Persaudaraan Islam)," kata utusan khas EU, Encik Bernardino Leon, yang menyelaraskan usaha damai bersama pengantaraan bersama Timbalan Setiausaha Negara Amerika, Encik William Burns.
"Mereka sepatutnya boleh mengambil pilihan ini. Jadi, apa yang berlaku hari ini (semalam) adalah tidak diperlukan," kata Encik Leon kepada agensi berita Reuters.
Rayuan terakhir telah dikirimkan kepada pihak berkuasa Mesir Selasa lalu, selang beberapa jam sebelum tindakan keras pasukan keselamatan Mesir dilaksanakan.
Setiausaha Negara Amerika, Encik John Kerry, secara langsung mengutuk pelaksanaan perintah darurat yang mengimbas semula tempoh hampir 30 tahun negara itu berada di bawah pemerintahan sekutu Amerika, Encik Hosni Mubarak, yang digulingkan pada 2011.
"Pada minggu lalu, pada setiap kesempatan... kami dan yang lain juga menggesa agar pemerintah menghormati kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara, dan kami juga menggesa semua pihak menyelesaikan kebuntuan ini secara aman dan menekankan pembantah harus mengelak daripada keganasan dan menghasut," kata Encik Kerry.

No comments:

Post a Comment

Busuk.com