Thursday 8 August 2013

Menteri Pertahanan Taiwan letak jawatan


ENCIK ANDREW: Didakwa lakukan penjiplakan. - Foto AFP

TAIPEI: Menteri Pertahanan Taiwan, Encik Andrew Yang, telah meletak jawatan kurang seminggu selang pelantikannnya, ekoran dakwaan beliau melakukan penjiplakan.
Perkembangan terbaru itu merupakan tamparan hebat kepada pentadbiran Presiden Ma Ying-jeou dan mengeruhkan lagi krisis yang melanda angkatan tentera negara itu.
Dalam satu sidang akhbar lewat kelmarin, Encik Yang mengaku bertanggungjawab selepas satu rencana yang ditulis oleh seorang "penulis hantu" tetapi menggunakan namanya, didapati mengandungi bahan yang dijiplak dari sumber lain.
Rencana itu disiarkan dalam buku berkaitan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China, yang diterbitkan pada 2007.
"Saya telah membuat kesilapan dan saya meminta maaf," kata Encik Yang.
Encik Yang, 58 tahun, mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Encik Kao Hua, yang meletak jawatan di tengah-tengah kemarahan rakyat ekoran kematian seorang askar berusia 24 tahun yang didera pegawai atasannya.
Askar itu meninggal dunia selepas dipaksa melakukan latihan teruk di bawah terik matahari bagi kesalahan membawa masuk telefon bimbit dalam kem.
Mendiang sepatutnya menamatkan perkhidmatan negara beberapa hari selepas kematiannya.
Kejadian itu telah mendorong 200,000 rakyat setempat melakukan bantahan di jalan-jalan raya Taipei pada Sabtu lalu, sambil menuntut agar angkatan tentera negara itu dirombak.
Encik Yang merupakan pegawai awam biasa pertama yang dilantik oleh Encik Ma untuk memegang jawatan ketenteraan.
Beliau merupakan seorang ahli akademik yang dihormati dan telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan sejak 2009.

No comments:

Post a Comment

Busuk.com